Khamis, 8 Mac 2012

Bermulanya Fitrah KeTuhanan

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang; Selawat dan Salam ke atas junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Setiap insan yang wujud di dunia memiliki Fitrah Ketuhanan walau apa bangsa sekalipun. Ia bermula pada alam ruh sebelum bergabung dengan jasad lagi. 
Firman Allah SWT:

“(Allah berfirman): “Bukankah Aku Tuhan kamu?” (Ruh) mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi..." (Al-‘Araaf: 172)

Kesedaran Ketuhanan ini adalah Sirr yang dimiliki dalam Ruh insan, 

dibuka hijab oleh Allah memandang rahsia DiriNya yang layak sekadar mana yang diizin Allah pada Ruh mengikut tingkatan masing-masing.

Tingkatan Ruh berbeza antara Ruh Nabi Muhammad SAW, Ruh Nabi-Nabi (a.s), dan Ruh manusia biasa. Justeru itu berlakunya perbezaan dalam makrifat dan rahsia-rahsia mereka terhadap Allah.

Apabila ruh digabungkan dengan jasad, ruh mula dihubungkan dengan akal, nafsu dan jasmani yang berunsur bumi. Maka semakin hari kesedaran Fitrah Ketuhanan semakin gelap dan tenggelam apabila akal, nafsu dan jasad keduniaan lebih menguasai dari ruh.


Sesungguhnya dunia ini adalah kegelapan, apabila manusia hidup hanya bermatlamat dunia, mereka berada dalam kegelapan. 
Dosa-dosa yang dilakukan dari peringkat baligh akan menjadikan kegelapan semakin tebal sehingga Fitrah Ketuhanan dalam diri manusia itu tertutup. 
Maka disitulah manusia berada dalam kebingungan dan kesesatan dalam memahami matlamat ia diciptakan.


Semakin banyak dosa yang dilakukan, semakin tebal kegelapan menutup Fitrah Ketuhanan, sehingga ada yang menjadi kufur yakni engkar terhadap kewujudan Allah.

Akal dan nafsu terdinding dengan Fitrah Ketuhanan sehingga mereka hidup bagaikan haiwan yang hanya mengetahui untuk mencapai impian di dunia ini sahaja.
Tuhan sudah tiada dalam jiwa mereka dan kekosongan itulah yang diisi oleh iblis yang berlagak sebagai Tuhan dalam mengatur kehidupan manusia tadi. 
Iblis membisikkan pada nafsu dan akal dalam segala hal. Disinilah bermula krisis penderitaan jiwa anak Adam dimana Fitrah Ketuhanan dalam diri mereka menderita mahu berhubung dengan Tuhannya, bagaikan seorang bayi yang menangis tiada henti untuk mendapat susu daripada ibunya.

Hakikatnya fitrah manusia memerlukan Tuhan. 
Pada manusia terkandung rahsia Ketuhanan yang paling tinggi. 
Maka manusia perlu dibukakan kembali titik dalam dirinya iaitu “Fitrah Ketuhanan” agar rahsia-rahsia Illahiah terbuka kembali.  
Ia adalah kekuatan utama dalam membawa manusia kepada kesempurnaan, ketenangan dan kejayaan dalam kehidupan dunia dan akhirat.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails